. .

Dari Hati, Menuju Hati, Mencari Redha Ilahi...

23 November 2007

AMAL SOLEH SELAMATKAN TIGA PEMUDA

. 23 November 2007



Diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar bahawa dia mendengar Rasulullah bersabda ketika menceritakan sebuah kisah sebagai teladan, cerita baginda:


"Telah keluar tiga orang lelaki pergi mengembara, tiba disebuah gua mereka masuk untuk tujuan bermalam. Sebaik sahaja masuk tiba-tiba sebuah batu besar jatuh dari atas gunung dan menutup pintu gua. Lalu mereka berkata sesama sendiri kerana tidak dapat keluar dari gua, sambil berdoa kepada Allah dengan mengemukakan amal soleh yang telah mereka lakukan.

Salah seorang dari mereka lalu berdoa; "Ya Allah, ya Tuhanku. Sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku mempunyai ibu bapa yang tua dan aku tidak pernah minum susu sebelum memerahkan susu kambing dan kedua mereka meminumnya.

Tetapi pada suatu hari kambing itu telah keluar jauh mencari makan dan aku tidak menunaikan kewajipanku kepada orang tuaku seperti biasa sehingga mereka tertidur.

Setelah aku memerah susu, ibu bapaku masih tidur dan aku teringin minum susu itu. Namun aku terus menunggu mereka bangun dari tidur sehingga terbit fajar. Anak-anak ku menjrit-jerit lapar di kakiku menyebabkan ibu bapaku terjaga dan minum susu yang aku perah itu.

Ya Tuhanku, jika apa yang telah aku lakukan itu mendapat keredhaan Mu maka lepaskan kami dari bencana yang sedang kami hadapi."

Tiba-tiba batu besar yang menutupi pintu gua itupun terbuka sedikit, tetapi mereka masih tidak dapat keluar.

Maka lelaki yang kedua pula berdoa; "Ya Allah, ya Tuhanku. Sesungguhnya Engkau mengetahui aku ini mempunyai seorang sepupu perempuan yang amat aku cintai dan aku sering merayunya untuk berdua-duaan, tetapi dia sentiasa menolak.

Pada suatu hari dia menemui ku dan aku memberinya 120 dinar dengan harapan dia mahu berdua-duaan bersama ku. Ia menerima permintaan ku itu. Ketika aku menghampirinya tiba-tiba dia berkata: "Takutlah kepada Allah. Janganlah melakukan sesuatu yang dimurkai Allah."

Aku merasa serba salah dan berhenti dari percubaan ku untuk memperdayakannya serta meninggalkanya pergi sendiri, sedangkan dia gadis yang amat aku cintai dan aku juga meninggalkan wang emas yang telah aku berikan kepadanya itu.

Wahai Tuhan ku, seandainya apa yang telah aku buat itu mendapat keredhaan Mu maka lepaskan kami dari bencana yang sedang kami hadapi ini."

Tiba-tiba batu besar itu bergerak sedikit lagi. Namun ketiga-tiga lelaki itu masih gagal melepaskan diri dari pintu gua itu.

Akhirnya lelaki yang ketiga pula berdoa; " Ya Allah, ya Tuhan ku. Sesungguhnya aku telah mengupah beberapa orang pekerja untuk melakukan satupekerjaan. Aku telah membayar upah kecuali seorang pekerja yang telah meninggalkan tempat itu tanpa mengambil wang upahnya terlebih dahulu. Wang itu telah aku kembangkan sehingga menjadi banyak.

Pada suatu hari dia datang menanyakan tentang wang upahnya itu. Aku jawab: "Semua unta, lembu, kambing dan hamba sahaya yang engkau lihat di depan matamu itulah upahnya yang engkau tinggal kepada ku dulu."

Orang itu menjawab: "Kau mempermainkan aku?"

Aku menjawab: "Tidak. Aku tidak mempermainkan engkau, memang benar itu harta mu. Ambillah semuanya."

Dia pun mengambil semua hartanya tanpa meninggalkan sedikitpun. Wahai Tuhanku, andai kata perbuatanku itu mendapat keredhaan Mu maka lepaskanlah kami dari bencana yang sedang kami hadapi ini."

Lalu batu besar itu pun bergerak sehingga pintu gua terbuka lebar membolehkan ketiga-tiga lelaki itu keluar dengan selamat."

Dari apa yang Rasulullah sabdakan itu, jelas menggambarkan bagaimana tiga lelaki soleh itu dapat keluar dari gua kerana doa dan amalan baik yang dilakukannya telah dimakbulkan Allah.

Cerita lelaki yang memuliakan ibu bapa itu memperlihatkan kepada kita bahawa orang yang beriman benar-benar memuliakan ibu bapa mereka dan sungguh-sungguh berbakti dan memelihara keselamatan dan kebajikan ibu bapa mereka. Keperluan ibu bapa diutamakan dari orang lain mahupun dirinya sendiri. Sehingga sanggup menderita dan bersusah payah asalkan ibu bapa hidup senang.

Begitu juga lelaki yang kedua, dia sungguh-sungguh takutkan Allah, apabila diperingatkan akan Allah, segera takut. Kerana takut itu dia segera meninggalkan maksiat, perkara yang dimurkai Allah.

Begitu juga lelaki yang ketiga, kerana kejujurannya memelihara amanah, sedia berkhidmat dan menolong orang lain. Ia sentiasa bertolak ansur, tidak mengikut kehendak nafsu.

Sifat-sifat yang dimiliki oleh tiga lelaki ini seharusnya menjadi contoh kepada kita semua. Betapa Allah memuliakan mereka di dunia. Apa lagi di akhirat nanti di beri ganjaran pahala dengan nikmat kebahagiaan di syurga.

“ Dan orang-orang yang berjihad untuk
(mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik. ”
( ayat 69 surah al-’Ankabuut )

0 komen: