. .

Dari Hati, Menuju Hati, Mencari Redha Ilahi...

08 Jun 2009

Kepimpinan: Antara Kuasa dan Pengaruh

. 08 Jun 2009

CHIN PENG , TUN MAHATHIR, SITI NURHALIZA, ASHAARI MUHAMMAD, HIDEO NOMO, MAWI, HASAN AL-BANNA, TIGER WOODS, BILL GATES, SAID HAWWA, SIMON COWELL, ABU HAMID AL-GHAZZALI, IBN TAIMIYAH, STEPHEN COVEY, TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ, CALVIN COOLIDGE

Jika saya tanya, apakah yang menjadi asas saya mengumpulkan nama-nama di atas di dalam satu himpunan, tentu ada yang berubah wajah. Mungkin ada yang merah padam wajahnya apabila nama seorang alim, saya kumpulkan sekali dengan nama seorang artis.

Mungkin ada di antara mereka ini yang anda tidak pernah mendengar namanya. Ada juga yang diketahui semua. Tetapi kembali kepada soalan saya tadi, apakah yang anda nampak di sebalik semua nama ini?

Mereka adalah manusia yang BERPENGARUH.

Setiap manusia ada pengaruh. Pengaruh itu bermaksud, dirinya berhubung dengan seseorang dan hubungan itu memberi bekas. Ada yang memberi pengaruh positif, ada yang memberi pengaruh negatif. Tetapi jika kita mahu perlakuan dan perkataan kita memberi impak kepada orang lain, ia mesti datang dengan pengaruh.

Soal PENGARUH inilah yang sukar untuk dilihat kepentingannya oleh kita, dalam konteks kehidupan yang luas ini.

SIRAH PENGARUH DAN KUASA

Lihat sahaja sirah Baginda SAW semasa di Mekah. Ketika kabilah-kabilah Arab berbalah tentang kelayakan untuk meletakkan kembali Hajar al-Aswad ke Kaabah, mereka akhirnya mencari seorang anak muda yang tidak berjawatan KETUA PEMUDA, tetapi PEMUDA yang berkualiti KETUA, iaitu Muhammad SAW. Biar pun tanpa jawatan dan kedudukan, pengaruh Baginda sudah sedia terserlah, dek kualiti yang ada pada dirinya.

Malah Muhammad SAW yang tidak berjawatan itu, menggelisahkan seluruh pembesar Mekah yang ada jawatan dan kuasa. Kepimpinan dengan pengaruh hasil kualiti, mengancam seluruh jawatan dan kuasa yang cuba dipertahankan tanpa kualiti kepimpinan.

Kerana itu, Madinah terus memacu kejayaan, apabila kepimpinan Rasulullah SAW yang berteraskan pengaruh itu, dilengkapkan dengan kuasa dan kedudukan!

Untuk memimpin dengan pengaruh, seseorang itu akan menumpukan perhatian kepada membangunkan kualiti dirinya sebagai aset terbesar dalam kepimpinannya. Dia akan terus menjadi pusat, sama ada dengan jawatan, atau tanpa jawatan. Jatuh naiknya kepimpinan beliau tidak bergantung pada kemenangan pertandingan dan kekuatan lobi orang lain untuk dirinya. Pengaruh bukanlah sesuatu yang dicari. Apabila kualiti diri dibangunkan, pengaruh datang sendiri.

“PENGARUH BUKANLAH SESUATU YANG DICARI. APABILA KUALITI DIRI DIBANGUNKAN, PENGARUH DATANG SENDIRI”

Ciri-ciri inilah yang mesti dibangunkan oleh setiap kita sebagai seorang individu Muslim yang cemerlang.

(Sumber - Hasrizal Abdul Jamil - saifulislam)



0 komen: