. .

Dari Hati, Menuju Hati, Mencari Redha Ilahi...

20 November 2009

Failing Forward

. 20 November 2009

Uih, panasnya!”, keluh Amin setibanya di rumah.


Jam menunjukkan pukul 6 petang. Lewat benar Amin tiba di rumah. Maklum sahaja, jalan raya petang-petang Ramadhan ini memang sibuk. Mengharungi lautan kereta memang menjemukan, tambahan pula di bulan puasa ini.


Baik aku mandi dulu. Bagi segar sikit badan”, monolog Amin.


Sementara menanti waktu berbuka, anak muda ini masuk ke bilik air untuk menyegarkan tubuhnya yang lesu dan kepanasan.


Arghhh… sedapnya”, Amin begitu menikmati siraman shower mandian beliau.


Tiba-tiba, gulp!


Air dari shower termasuk ke dalam mulut Amin. Air yang sejuk dan enak itu. Sudah berada di dalam mulutnya, di pinggir tekak yang kering, derita dan lesu dek bahang mentari Ramadhan.


TELAN ATAU LUAH

Kalaulah anda menjadi Amin, apakah anda akan menelan air itu?

Air itu bukan di dalam gelas, tetapi entah bagaimana, ia sudah berada di dalam mulut.

Rezekikah ini?”, tanya Amin kepada dirinya.

Masakan bukan rezeki, kalau sudah duduk di dalam mulut!”, sambungnya lagi.

Tetapi Amin teringat, bahawa rezeki bukan hanya soal rezeki. Dalam hidup ini, apa yang dicari adalah REZEKI yang HALAL. Rezeki itu keperluan… bahagian untuk diri. Halal itu tujuan… hak Allah sebagai matlamat ibadah kita.


Amin tidak menelan air yang sudah separuh jalan menjadi rezekinya itu kerana air itu tidak halal. Amin berpuasa. Memang tiada siapa yang nampak kalau Amin menelannya sahaja. Tetapi Allah nampak. Jika Amin menipu, dia sebenarnya menipu Allah dan memperbodohkan dirinya sendiri!


“Setiap amalan anak Adam itu adalah untuk dirinya kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah khusus untukKu dan Akulah yang menetapkan ganjarannya semahuKu” [Hadith al-Bukhari ]


Di dalam puasa, Amin dan anda tidak tergamak untuk menelan air itu.


DI BILIK PEPERIKSAAN

Bagaimana jika di bilik peperiksaan?

Ditakdirkan, anda duduk di belakang pelajar terbaik. Soalan yang anda terima amat sukar untuk dijawab. Buntu fikiran mencari jawapannya. Tiba-tiba kertas jawapan pelajar terbaik itu terjuntai keluar dan terhidang di depan mata anda.


Apakah anda mahu menjamah ‘rezeki’ itu?

Err, bukan aku cari, tapi dia datang!”, bijak hati berkata-kata mencari alasan.

Jika di dalam puasa, Amin dan anda tidak tergamak menjamah rezeki yang bukan hak diri, mengapa pula di bilik peperiksaan sikapnya berbeza? Mengapa jika ditelan air itu terasa bodoh, tetapi jika ditiru jawapan pelajar terbaik itu, boleh terasa pandai pula?

Bahkan apabila masuk ke alam pekerjaan, mengapa kita hilang sensitiviti terhadap rezeki? Puasa tak sanggup tipu Tuhan, tapi kalau hasil kerja, biasalah!

Inilah penyakit kita. Penyakit ‘kumpulan pemisah’ yang memisahkan antara solat dan puasa dengan peperiksaan dan kerja. Antara bilik darjah dan masjid rumah Allah. Seolah-olah selesai solat subuh semasa melipat sejadah kita berkata, “Ok Allah, jumpa lagi zohor nanti ya!”. Terlipat sejadah, selesai hubungan dengan Allah SWT.

Ia adalah cabang paradigma sekularisma.

Kelakuan seperti ini sudah menjadi suatu kebiasaan sehingga ia semacam sudah tidak relevan untuk disebut. Bahkan yang sanggup bersusah payah kerana enggan meniru itu pula yang dianggap ganjil dan tidak normal.

Meniru sudah jadi kebiasaan sehingga ia melekat sebagai tabiat kepada sesiapa sahaja. Yang beragama, yang biasa-biasa, pelajar bidang agama atau apa sahaja, meniru sudah secara senyapnya diterima.


MENIRU DALAM PEPERIKSAAN

Inilah yang sering saya pesankan setiap kali berprogram bersama pelajar sekolah atau universiti. Meniru di dalam peperiksaan harus dihindarkan.

Saya tidak berhajat untuk menjustifikasikan perbuatan itu dari segi hukum syara’ kerana segalanya jelas. Mengambil manfaat dari usaha orang lain itu adalah kebatilan yang dicegah Islam di dalam konteks muamalah kita sesama manusia.


“Barangsiapa yang tidak berlaku jujur (meniru) maka bukanlah (dia itu) dari kalangan kami” [Hadith riwayat Al-Bukhari]


Tetapi apa yang saya mahu, adalah untuk mengingatkan para pelajar supaya menyimpan maruah dan harga diri mereka.

Save your dignity!

Orang yang biasa meniru di dalam peperiksaan ini rendah harga dirinya. Dan kerendahan harga dirinya itu bakal memberikan implikasi yang pedih di masa hadapan.

Apabila saya menjadi bapa, saya mahukan laporan dan keputusan peperiksaan anak saya itu telus. Biar keputusan itu bodoh rupanya, supaya kebodohan itu boleh diajar. Tetapi saya tidak sanggup membayangkan anak saya memberikan keputusan peperiksaan yang palsu supaya dia kelihatan pandai, kerana hakikatnya dia memperbodohkan saya.


TIDAK PERNAH MENIRU

Keputusan peperiksaan ada pasang surutnya. Kerana tidak meniru, ada masanya kita mengalami kemunduran. Tetapi kemunduran itu menghasilkan pengajaran dan ia menyumbang kepada pembaikan di masa depan. Failing Forward kata John C. Maxwell.

Hari ini,kita boleh mengajar orang lain, tentang peri pentingnya berlaku jujur kepada diri sendiri dan menjauhkan diri dari perbuatan meniru… tanpa ada rasa terkilan atau malu. Kita tidak perlu menyembunyikan dalam diri perasaan khianat kerana bercakap apa yang saya tidak buat.

Sesungguhnya seorang lelaki hanya mampu berdiri dengan harga diri. Biar miskin harta, jangan miskin jiwa.

Meniru dan menipu diri sendiri, adalah salah satu cara untuk menghina diri.

Pilihlah mana yang berkenan di hati.

Jika ada soalan yang tidak diketahui jawapannya, tuliskan sahaja WALLAHU A’LAM (Allah lebih mengetahui), pasti betul. Jangan ada pensyarah yang memangkahnya. Rosak Aqidah!

Cuma, tiada markahlah… itu sahaja.

Ingat, kejayaan adalah perjalanan, bukan destinasi!

Seeru ‘alaa barakatiLlaah!



2 komen:

Tanpa Nama berkata...

Salam. bagus artikal yang dipaparkan. sedikit sebanyak beri kesedaran. mmg klu waktu terdesak mcm exam tu, kita sanggup buat apa je asalkan dapat jawapan. berkaitan jawapan kalau kita tak tahu kita tulis sahaja 'WALLAHU A’LAM' mengingatkan saya pada kawan saya. dia pernah tulis mcm gitu. teruk dia kne marah kerana dianggap mempermainkan guru.. pendapat saya lbh baik klu kita tak tahu kita kosongkan je dari menguris perasaan org lain..

Tanpa Nama berkata...

hehe...mcm trkena batang hidung sendiri la pulak. tringat zaman belajar dulu. tp walope2pn ayat paling best kt artikel ni "Jika ada soalan yang tidak diketahui jawapannya, tuliskan sahaja WALLAHU A’LAM (Allah lebih mengetahui), pasti betul. Jangan ada pensyarah yang memangkahnya. Rosak Aqidah!
Cuma, tiada markahlah… itu sahaja."
boleh pulak cmgtu ye...hehe.