. .

Dari Hati, Menuju Hati, Mencari Redha Ilahi...

28 Mac 2010

menyukat solat diri

. 28 Mac 2010



Kenapa mesti solat? Persoalan yang diutarakan oleh orang-orang yang suka bertanya. Maka, setiap persoalan pasti akan jawapannya.

Pertamanya, solat merupakan madrasah rohani. Solat adalah rahsia kemantapan iman Saidina Umar. Kata Syed Qutb; Saidina Umar suatu ketikanya hanyalah serpihan dari masyarakat jahiliyyah, yang melalui tarbiyyah dari Rasulullah SAW dan mendidik kemantapan iman melalui solatnya.

Keduanya, solat merupakan amalan mereka, orang-orang yang inginkan kehebatan. Hal ini menjadi bukti dimana orang-orang beriman yang diseksa ketika sedang solat, mereka tidak merasa sakit, bahkan merasa sangat lapang hati, bahagia dan aman.

Bagaimana solat menjadikan seseorang itu hebat?

Solatlah dengan penuh kerendahan diri pada Allah, hati terus memuji Allah. Inilah puncak ketinggian insan, yang mana dunia tidak lagi beerti apa-apa. Bahkan hanya pertemuan dengan Allah yang menjadi dambaaan tiap saat.


Dalam satu hadis Khudsi dirawikan oleh Muslim. Hadis ini memberikan jawapan, siapakah kita yang sebenarnya di hadapan Allah?

Allah berkata;

Wahai manusia...
Kamu hanyalah sesuatu yang hina, kotor, keji, sesat dan sentiasa berada dalam kesesatan, melainkan orang-orang yang Aku beri Hidayah.

Mintalah Hidayah dariKu dan Aku akan berikannya kepadamu.


Wahai manusia...
Kamu semua tiada apa melainkan sesuatu yang kebuluran, melainkan orang-orang yang Aku berikan makanan.


Wahai manusia...
Kamu ini tiada apa-apa melainkan hanyalah sesuatu yang telanjang, hina, keji, melainkan orang-orang yang Aku beri pakaian dan kemuliaan.


Wahai manusia...
Kamu semua bukanlah apa-apa melainkan suka melakukan dosa siang dan malam, maka minta ampunlah kepadaKu, dan Aku akan ampunkan kamu.


Sesungguhnya, semuanya adalah milikKu..

Dikisahkan suatu ketika, Saidina Umar berjumpa dengan seorang lelaki yang seang menangis tersedu-sedan. Tangisan tersebut amatlah dasyat hinggakan Saidina Umar (yang garang dan berhati waja- dikatakan batuknya sahaja boleh membuatkan beberapa pemuda jatuh pengsan) juga ikut menangis tersedu-sedu dek kerana kedasyatan tangisan pemuda tersebut. Tidak lama kemudian, Rasulullah SAW lalu di kawasan tersebut dan nampak Saidina Umar menangis. Maka Rasulullah SAW bertanya kepada Saidina Umar sebab beliau menangis. Saidina Umar menjawab dia menangis kerana hatinya tersentuh dengan tangisan pemuda tersebut.

Lalu, Rasulullah SAW pun bertanya kepada pemuda tersebut mengapa dia menangis. Pemuda tersebut pun mula bercerita. Katanya, dia bekerja sebagai pencuri kain kafan. Siang, dia akan mengenal pasti kematian, dan malamnya dia akan menggali kembali kubur mangsa dan mencuri kain kafan mangsa. Kain kafan tersebut akan dibasuh dan dijual kembali di pasar. pada hari yang seterusnya.

Suatu hari, dia mencuri kain kafan seorang mangsa; iaitu seorang gadis muda yang baru meninggal dunia. Hatinya terpaut melihat kejelitaan wajah mayat gadis tersebut. Maka, nafsunya mula menguasai diri melihat kecantikan gadis itu lalu merogol mayat tersebut. Pada malam seterusnya, pemuda tersebut bermimpi didatangi oleh gadis tersebut dalam keadaan yang sangat marah kerana memalukannya. Oleh kerana penyesalan dan rasa takut tersebut pemuda itu berterusan menangis hingga Saidina Umar menjumpainya.

Mendengar cerita tersebut, Rasulullah SAW menyuruh pemuda tersebut pulang dahulu kerana baginda hanya memberikan jawapan berdasarkan wahyu Allah. Hati pemuda tersebut bertambah-tambah takut setelah mendengar Rasulullah SAW menyuruhnya pulang tanpa berkata apa-apa. Berhari-hari pemuda tersebut menangis, dan terus menangis.

Suatu hari, Rasulullah SAW mendapat wahyu dari Allah (berkenaan jawapan kepada dosa pemuda itu). Maka, Rasulullah SAW pun menyuruh seseorang pergi ke rumah pemuda itu untuk menyampaikan jawapan baginda. Sampai sahaja di rumah pemuda itu, dilihatnya keadaan pemuda tersebut tidak terurus kerana asyik menangis. Lalu, penyampai amanah Rasulullah SAW itu pun berkata;
"Rasulullah SAW berkata, Allah telah mengampuni semua dosa-dosamu..". Mendengar kata-kata tersebut, pemuda tersebut rasa sangat terkejut, gembira lalu rebah dan terus meninggal dunia. Subhanallah!

Jelaslah, Allah itu Maha Pengampun. Jika kita berusaha bersungguh-sungguh dan bertawakal kepada Allah, pasti Allah akan bantu.

Oleh itu, hendaklah kita menyerah diri kepada Allah seluruhnya, kerana
solat adalah keperluan asasi kehidupan. Hendaklah kita bersolat dengan rendah diri dan tawadu'. Kita kena sedar siapa diri kita dihadapan Allah.

Solat yang baik bermula dengan wudhu' yang betul, sambil berwudhu' minta diampunkan semua dosa-dosa mata, mulut, tangan, kaki, kepala. Perbuatan kita, Hati kita sehari-hari juga mempengaruhi solat kita. Jika seharian asyik fikir buruk pada orang, sakitkan hati orang, cakap benda-benda yang tidak baik. Rasa diri besar, orang lain semuanya tak betul. Fikir, bagaimana kita hendak khusyu' dan ikhlas dalam solat kita?

Sesungguhnya, solat itu meliputi perbuatan, hati, jasad, rohani dan akal fikiran. Jika semuanya kotor, apa yang hendak diharapkan daripada solat tersebut?

Maka, hendaklah kita jaga tingkah laku, pemikiran dan kata-kata yang diucapkan dalam kehidupan seharian. Ingatlah! Lidah itu adalah senduk hati. Jika dalam periuk itu hidangannya lazat dan berbau harum, maka harumlah. Jika dalam periuk itu lauknya basi dan berulat, maka busuklah. Begitu juga dengan kita.

Jika bersih hati kita, maka percakapan kita juga adalah percakapan yang bermanfaat, dan baik. Jika hati kita rosak, busuk, hitam dan berulat, maka, apa yang boleh keluar dari mulut kita? Asyik mengumpat, mengata orang itu, ini.. macam-macam. Sebab itu, ada suatu bidalan mengatakan; "
semakin bijak seseorang itu, semakin bijak dia menjaga percakapannya.".

Kata Imam Al-Ghazali;
Allah menguji kita hanya sedikit, tapi kita merungut, mengeluh dengan banyak.


Maka, solatlah! Solat dapat membersihkan hati, dibantu lagi dengan tadarus dan tadabbur Al-Quran, zikrullah. Sebelum solat, bayangkan seperti sedang berada di padang Mashyar, bayangkan itu adalah solat kita yang terakhir, bayangkan hari pembalasan sudah tiba. Solat dengan kesedaran hati, dengan kerukunan solat yang dijaga dengan sebaiknya serta dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Dari Surah Al-Ma'arij (70) ayat 19 hingga 23. Allah berfirman dengan maksudnya;
"Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut. Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang, iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya."

Dan Allah berfirman lagi dalam Surah Al-Haj (22) ayat 18;
"Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya."

Kembalilah.. kembalilah bersujud kepada Allah, sebagaimana makhluk-makhluk lain semuanya tetap bersujud kepada Allah.

Dan Allah berfirman lagi dalam ayat seterusnya;
"Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan tentang Tuhan mereka. Maka orang-orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian dari api neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak, Yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka, dan juga kulit badan mereka. Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka. Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: "Rasalah kamu azab seksa yang membakar!"[Al-Haj: 19-22]

Ambillah iktibar dari apa yang telah Allah beri. Peringatan sudah diingatkan, Amaran sudah dikeluarkan, Contoh teladan telah banyak dihidangkan. Apa lagi yang kau tunggu? Apa lagi yang kita tunggu? Apa lagi yang kita mahu?

Ingatlah, hari pembalasan dan perhitungan itu pasti. Dan kedatangan hari kehancuran juga sudah sangat hampir. Berbahagialah bagi mereka yang sudah menyiapkan bekalan untuk dibawa ke hari mati. Dan bersiap sedialah orang-orang yang masih tiada sedarnya. Sesungguhnya, manusia itu bodoh dan tiada apa-apa. Melainkan orang-orang yang dijanjikan syurga dan tempat yang baik di sisi Allah.

"Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka dihiaskan di situ dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ dari sutera." [Al-Haj-23]

siapakah mereka?

"Dan mereka diberi petunjuk kepada mengucapkan kata-kata yang baik, serta diberi petunjuk ke jalan Allah Yang Amat Terpuji." [Al-Haj:24]

Allah SWT berfirman lagi;
"Wahai hamba-hambaKu, seandainya Ku-kumpulkan semua hamba-hambaKu dari zaman Adam hingga ke zaman akhirnya, manusia dan semua jin, yang mana dikatakan semuanya datang dengan hati penuh ketaqwaan, semua itu takkan menambahkan kekuasaan-Ku walau sedikitpun.

Dan wahai hamba-hambaKu, jika kamu semua datang berkumpul kepadaku dari zaman Adam hingga ke zaman akhirnya, semua manusia dan jin, datang dengan hati dan iman yang rosak, maka semua itu takkan menjejaskanKu walau sedikit pun."


Sesungguhnya, samada kita beriman atau tidak kepada Allah, sedikit pun tidak memberi apa-apa kelebihan atau kekurangan kepada Allah. Kita, kita adalah pihak yang rugi sekiranya kita mengabaikan suruhan Allah.

Memetik kata seorang sahabat;
"Bersiap sedialah, hari ini kita melihat dia di belakang kita, di mata Allah, entah-entah dia sudah jauh meninggalkan kita.."
(komen tentang seseorang yang memandang rendah pada sahabat yang baru hijrah).

Persiapkanlah diri, kumpul bekalan sebanyak mungkin.
Sesungguhnya, antara semua perkara yang menakutkan, yang paling mengerikan adalah hari di mana kita akan dikembalikan kepada Allah SWT.

Akhir kata, maafkan aku kiranya kata-kataku melukakan hati. Niatku hanya ingin menyentuhi hatimu.

Wallahu 'alam.

0 komen: